BERLIN, 30 MEI – Penyerang Sweden, Sebastian Andersson menyumbat dua gol pada separuh masa pertama untuk membantu FC Cologne mengelak daripada tersingkir dari Bundesliga selepas mencatatkan kemenangan 5-1 ke atas pasukan tier kedua, Holstein Kiel, kelmarin.
Andersson, pembelian utama pada musim panas lalu, sering mengalami kecederaan sepanjang musim, menonjol pada pusingan kedua pertemuan promosi playoff untuk mengelak Cologne tersingkir buat kali ketiga dalam tempoh 10 tahun.
Di tengah-tengah aksi empat gol pada 15 minit pertama, penyerang tinggi lampai dari Sweden menjaringkan dua gol menerusi tandukan untuk meletakkan Cologne dalam landasan betul dan memusnahkan harapan Kiel untuk meraih promosi buat kali pertama ke liga utama Jerman.
Media Jerman menjangkakan penyingkiran akan mencetuskan kerugian sebanyak 25 juta euro kepada Cologne dalam pendapatan daripada hak penyiaran.
Mereka akan menjadi kelab ikonik Jerman ketiga untuk tersingkir pada tahun ini selepas Werder Bremen dan Schalke.
Selepas mengelak penyingkiran automatik dengan berbaki empat minit pada hari terakhir, Cologne mencatatkan kekalahan mengeju 1-0 di pusingan pertama pada Rabu.
Pasukan divisyen kedua, Kiel menaruh harapan tinggi untuk membuat kejutan apabila mereka bermain di hadapan 2,500 orang peminat. – AFP
