Penyanyi Malaysia Andi Bernadee, 33, terkejut berat badannya susut mendadak sehingga 46 kilogram (kg) berbanding 60kg sebelum ini selepas membuat pemeriksaan di sebuah klinik akibat keracunan makanan.
Menurut laporan Harian Metro, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile berkata memang berusaha turunkan berat badan sejak tahun lalu sehingga ramai menegur perubahannya dan menyangka dirinya sakit.
“Saya pun sebenarnya terkejut. Masa itu saya kena keracunan makanan, jadi pergilah timbang di klinik untuk mereka ambil data. Terkejut bila lihat berat sudah turun kepada 46kg.
“Ramai tanya, kenapa kurus sangat dan sama ada saya sakit. Ada juga yang masih kaitkan dengan cerita-cerita lama. Jawapan saya mudah, saya memang sedang berdiet. Saya tak mahu ulas lagi benda lepas,” katanya.
Menurut Andi, titik perubahan itu bermula selepas tamat penggambaran drama Boleh Saya Bantu 2 tahun lalu.
Ketika itu, beratnya naik, perut menjadi buncit dan mempunyai dagu berlapis (double chin).
Keadaan fizikal ketika itu bukan sahaja mengubah penampilannya, malah membuatkan dirinya berasa cepat penat, sekali gus mendorongnya untuk mengambil keputusan mengubah gaya hidup.
“Selepas habis penggambaran, saya cakap pada diri sendiri, ‘kena berubah’. Dulu di set, saya makan lima kali sehari untuk tenaga. Jadi saya hentikan tabiat itu,” ujarnya.
Menjelaskan kaedah dietnya, Andi menafikan dia mengamalkan puasa selang-seli atau Intermittent Fasting (IF), sebaliknya hanya mengawal kuantiti makanan yang diambil.
“Saya masih makan, tetapi dalam kuantiti yang sangat kecil, umpama saiz hidangan kanak-kanak,” katanya.
Andi juga mengakui dia sedang dalam usaha untuk menaikkan semula berat badannya kerana merasakan angka di bawah 50kg adalah terlalu kurus.
“Sekarang saya sedang berusaha untuk naikkan berat badan semula. Sasaran saya adalah untuk berada di atas paras 50kg, tetapi tidak akan kembali ke 60kg,” katanya.
Dalam pada itu, Andi bakal bergandingan dengan Nabila Razali membintangi Siri Tonton Original berjudul Me.N.U 10 episod yang mula ditayangkan pada 11 September ini. – Agensi


