Pelawak dan pengacara Andre Taulany akhirnya mencapai kata sepakat dengan isterinya untuk berpisah secara baik.
Dalam satu sidang media yang berlangsung pada Rabu, Andre memaklumkan kedua-dua pihak telah bersetuju untuk bercerai selepas mendapatkan perkhidmatan peguam dalam proses meditasi, menurut laporan mStar.
Peguam bernama Malik Bawazier memberitahu, Andre dan isterinya, Rien Wartia Trigina atau Erin tidak lagi perlu hadir ke mahkamah bagi proses perbicaraan kes cerai.
Ini kerana kedua-dua mereka berjaya menyelesaikan segala pertelingkahan secara baik di luar mahkamah.
Justeru hanya wakil kepada Andre dan Erin yang perlu membuat pengesahan mereka bercerai di luar mahkamah.

Bercakap kepada media, Andre berkata fokusnya kini hanya untuk memberi yang terbaik buat anak-anak selepas bercerai.
“Jika mahu dikatakan saya lega, tidak juga. Tiada siapa yang mahu bercerai.
“Apa yang penting kami akan berusaha menjadi ibu bapa terbaik. Mental anak-anak perlu dijaga,” katanya.
Andre dan Erin turut mengambil keputusan untuk tidak membuka atau bercerita lanjut mengenai masalah dalam rumah tangga yang membawa kepada perceraian.
Untuk rekod, Andre dan Erin mendirikan rumah tangga pada Disember 2005.
Mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki.
Sebelum ini, Andre telah membuat permohonan cerai sebanyak empat kali namun ditolak mahkamah atas alasan tidak kukuh. – Agensi

