MONTREAL, 7 DIS – Bekas juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Bianca Andreescu dari Kanada berkata dia tidak akan mengambil bahagian di Terbuka Australia bulan depan kerana berada dalam fasa pemulihan selepas mengharungi dua musim yang terjejas kerana pandemik COVID-19.
Pemain nombor 46 dunia dan berusia 21 tahun itu, terlepas beberapa pertandingan musim ini apabila mengalami kontak virus pada April berkata dia merancang memanfaatkan masa tanpa penyertaan di Melbourne untuk kembali meningkatkan prestasi.
“Tahun ini kebanyakan masanya, saya luangkan beberapa minggu untuk kuarantin kendiri, yang sangat memberi kesan kepada saya dari segi mental dan fizikal,” kata Bianca menerusi Twitter.
“Malah nenek saya juga terpaksa menghabiskan masa beberapa minggu di ICU kerana jangkitan COVID-19, sesuatu yang sangat menyukarkan saya.
“Terlalu banyak hari, saya tidak berasa seperti diri sendiri, terutama ketika saya menjalani latihan atau menyertai perlawanan. Saya rasa seperti memikul beban yang sangat berat.
“Jadi saya mengambil keputusan untuk tidak memulakan aksi musim baharu di Australia tahun ini tetapi mengambil masa untuk bangkit, berlatih dan bersedia untuk musim tenis 2022 yang akan datang.”
Kejohanan Terbuka Australia yang juga Grand Slam pertama musim baharu dibayangi spekulasi sama ada pemain lelaki nombor satu dunia, Novak Djokovic akan mengambil bahagian atau sebaliknya.
Ia susulan keputusan penganjur kejohanan di Australia mensyaratkan hanya pemain yang mempunyai vaksin penuh dibenarkan beraksi di negara itu. – AFP
