MADRID, 30 APRIL – Mirra Andreeva meraikan ulang tahunnya yang ke-16 dengan menetapkan pertemuan dengan pemain ranking nombor dua dunia, Aryna Sabalenka di Terbuka Madrid, kelmarin.
Pemain remaja Rusia, yang menduduki ranking ke-194, menang 6-3, 6-3 menentang Magda Linette untuk mara ke pusingan keempat setelah menyingkirkan finalis Terbuka AS 2021, Leylah Fernandez dan pemain nombor 14 dunia, Beatriz Haddad Maia pada peringkat awal kejohanan.
“Saya tidak menyangka untuk berada di sini dan bermain menentang Sabalenka di pusingan 16 terakhir,” Andreeva memberitahu Tennis Channel.
“Saya tidak terkejut dengan tahap permainan saya kerana saya tahu di mana saya ingin bermain di atas gelanggang. Namun, saya tidak menjangkakan untuk berada di sini dan mara lebih jauh.”
Andreeva menewaskan Linette, dari Poland dan pemain ranking 19 dunia, 2-0 dalam set pertama, dan meskipun pemain pilihan ke-17 itu bangkit, namun pemain Rusia itu sekali lagi mendahului 4-2 dan menyingkirkannya.
Pemain remaja itu berada di hadapan dalam perlawanan pertama set kedua dan mematahkan pukulan Linette di perlawanan kedua untuk meraih kemenangan.
Andreeva, pemain wildcard, menjadi satu-satunya pemain berusia 15 tahun untuk memenangi perlawanan utama WTA 1000 apabila dia menewaskan Fernandez pada Rabu.
Dia menjadi naib juara di Terbuka Australia peringkat remaja pada Januari, manakala Sabalenka memenangi gelaran pertama Grand Slam.
“Saya tidak ada apa-apa untuk dipertaruhkan,” kata Andreeva.
“Saya hanya perlu bermain dan memberikan yang terbaik. Tiada tekanan sama sekali ke atas saya. Akan tetapi ada sedikit tekanan ke atasnya kerana dia akan bermain menentang remaja berusia 16 tahun.”- AFP