WALAUPUN sudah berpisah pada 2015, Andrew Garfield masih lagi meminati bekas kekasihnya, Emma Stone yang juga seorang pelakon.
Bintang The Amazing Spider-Man itu berkata, dia sentiasa menyokong kerjaya Emma dan akan selalu menjadi peminatnya dipetik dari laporan E! Online.
Dia mengulas mengenai hal itu sewaktu ditemui ketika tayangan filem baharunya, Breathe.
Ketika diajukan mengenai pendapatnya mengenai filem terbaru Emma, Battle of the Sexes, dia berkata masih belum berkesempatan untuk menonton.
“Saya tak tengok lagi, tapi saya teruja untuk menontonnya nanti,” ujar Andrew.
Andrew dan Emma mula berpacaran sewaktu sama-sama menjayakan filem The Amazing Spider-man pada 2010.
Pasangan popular itu bagaimanapun dilapor berpisah pada Oktober 2015 setelah lima tahun menjalin cinta.