Andy Murray lepasi halangan pusingan pertama

SAN DIEGO, 29 SEPT – Bekas pemain nombor satu dunia, Andy Murray (gambar) dari Britain berjaya menewaskan Denis Kudla dari Amerika Syarikat (AS) dengan keputusan 6-3, 6-2 dalam pusingan pertama Terbuka San Diego, semalam.

Pemain berusia 34 tahun itu, yang juga pernah memenangi Grand Slam sebanyak tiga kali dan dua kali meraih pingat emas Sukan Olimpik, masih berusaha untuk kembali ke prestasi terbaik selepas menjalani dua pembedahan pinggul serta beberapa siri kecederaan lain.

Murray, ketika ini menduduki ranking ke-109, dijadualkan akan bermain menentang pemain ranking ke-52, Kei Nishikori, akan tetapi pemain berusia 31 tahun dari Jepun itu menarik diri disebabkan kecederaan belakang.

Murray yang mara ke pusingan suku akhir minggu lalu di Metz, di mana dia disingkirkan oleh pemenang kejohanan, Hubert Hurkacz. Di Terbuka AS, Murray memaksa pemain pilihan ketiga, Stefanos Tsitsipas untuk bermain lima set.

“Permainan bertambah baik,” kata Murray. “Terbuka AS menjadi permulaan di mana saya bermain dengan lebih baik dan saya perlu menewaskan pemain yang mempunyai ranking lebih tinggi.”

Murray mara ke pusingan kedua untuk bertemu pemain pilihan kedua, Casper Ruud dari Norway, yang membantu pasukan Eropah memenangi Piala Laver minggu lalu.

“Saya mempunyai peluang dalam perlawanan tersebut menentang pemain yang hebat. Saya merasakan saya mampu menewaskan mereka. Saya hanya perlu memanfaatkan peluang menentang mereka dan saya berpeluang melakukannya pada Khamis menentang Ruud,” kata Murray.

Murray merupakan pemain kemasukan wild card di kejohanan gelanggang keras yang dicipta tahun lalu bagi mengisi kekosongan jadual perlawanan ATP ketika kejohanan pasca Terbuka AS di Asia dibatalkan disebabkan kebimbangan COVID-19.

Dalam perlawanan lain, Sebastian Korda dari AS berjaya menewaskan rakan senegaranya, Tommy Paul, 6-3, 5-7, 6-1. – AP