Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Andy Teh sering disangka mualaf

    Pelakon Andy Teh sering berdepan salah faham dalam kalangan warganet yang menyangka dirinya sebagai seorang mualaf gara-gara kerap melakonkan watak berkaitan dengan agama Islam.

    Menurut laporan mStar, Andy, 39, sebagai pelakon dia perlu memahami budaya masyarakat terutama Melayu memandangkan banyak produksi menawarkannya watak yang mempunyai elemen keagamaan.

    “Pertama, saya kena faham budaya di mana Malaysia ini dikenali dengan masyarakat yang berbilang agama, jadi apabila selalu dapat watak yang ada kena-mengena dengan agama Islam, saya kena belajar dan tahu”.

    “Kalau ada orang nampak saya baca surah al-Nas atau hal-hal lain yang seumpamanya, jelasnya, ia bukan sebab nak tunjuk hebat, tapi lebih kepada nak buktikan saya mampu bawa watak tersebut,” katanya kepada mStar.

    Andy berkongsi perkara itu ketika ditemui pada tayangan perdana filem Abah Saya Uncle Mike yang diadakan di GSC Midvalley, Bangsar, Kuala Lumpur pada Selasa.

    Namun jelas Andy, dia sebenarnya seorang yang berbangsa Cina dan tidak mempunyai kaitan dengan Islam. 

    Ada yang komen kata saya Melayu ke Cina? Ada juga yang ingat saya mualaf. Tapi sebenarnya saya berbangsa Cina. Dalam keluarga pun tak ada kaitan dengan Islam.

    “Disebabkan saya masuk dalam industri seni Melayu, kawan-kawan serta rakan artis pun kebanyakannya beragama Islam, jadi orang mungkin salah faham,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Andy turut mendedahkan dia sering menerima mesej peribadi di Instagram daripada wanita Melayu yang memanggilnya dengan pelbagai gelaran.

    Paling mengejutkan, katanya, ada yang memberi gelaran unik iaitu ‘Daddy Mike’.

    “Selalu ada terima DM dan ada juga yang panggil saya macam-macam panggilan. Ada yang gelar imam, tapi paling terbaharu orang panggil saya Daddy Mike.

    “Saya sendiri pun tak faham kenapa tiba-tiba dapat gelaran itu. Mungkin sebab dulu masa promosi filem ada kaitan dengan watak ayah… tiba-tiba terus jadi Daddy Mike.

    “Bagi saya sebagai pelakon profesional, saya kena jaga jarak dan buat apa yang sepatutnya saja,” jelasnya. – Agensi

    Andy tidak pernah ambil hati ramai ingat dia sudah menjadi muallaf. –mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda