Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Seramai 12 pemain dan empat pegawai sukan Kelab Bola Jaring Angel Net kelmarin telah berlepas meninggalkan negara ini bagi menyertai Terbuka Thailand yang akan berlangsung dari 4 hingga 9 Ogos.
Kejohanan yang berlangsung di Institute of Physical Education Chonburi Campus berkenaan turut disertai oleh beberapa kelab bola jaring dari negara penganjur dan negara di rantau Asia.
Antara negara yang akan ikut serta ialah seperti Singapura yang diwakili oleh Sneakers Netball Club dan Malaysia diwakili oleh Pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Manakala Hong Kong pula diwakili oleh Hantang Netball Club dan Australia pula diwakili oleh Pasukan South West Jets Netball Club.
Rombongan Kelab Bola Jaring Angel Net berkenaan diketuai oleh Pengurus Pasukan, Dayang Rosni binti Haji Yahya.
Terbuka Thailand diadakan buat julung kalinya dan diharap dapat menguji ketahanan mental, fizikal, kemahiran dan semangat berpasukan para pemain selain dapat menimba ilmu daripada pasukan lainnya.
