PATTAYA, 23 FEB – Angel Yin mengukir namanya dalam sejarah jelajah wanita dengan kemenangan rekod di kejohanan LPGA Thailand, merangkul gelaran kedua dalam kariernya dengan catatan skor kemenangan terendah sepanjang masa, 260 pukulan, di Siam Country Club Pattaya Old Course hari ini.
Pemain ranking ke-17 dunia itu mempamerkan aksi sempurna dengan catatan 65 pada pusingan akhir, menamatkan kejohanan pada 28-bawah-par, sekali gus mengatasi pendatang baharu Jepun, Akie Iwai, dengan satu pukulan.
Jumlah keseluruhan Yin memecahkan rekod LPGA sebelum ini, 261 pukulan, yang dicatat Annika Sorenstam di Arizona pada 2001.
Dia juga mengatasi rekod 72 lubang kejohanan dengan 262 pukulan, yang sebelum ini dipegang oleh Nanna Koerstz Madsen dan Xiyu Lin sejak 2022.
“Saya tidak begitu selesa kerana Akie mencatat 10 di bawah par pada hari pertama dan padang ini boleh menghasilkan banyak birdie. Jadi saya hanya perlu fokus,” kata Yin.

Walaupun memulakan pusingan akhir dengan kelebihan lima pukulan, Yin menerima tentangan sengit daripada Iwai, pemain jemputan slot penaja yang melonjak ke papan skor teratas untuk berkongsi pendahuluan pada 24 di bawah selepas birdie di lubang ke-12.
Namun, Yin, yang kali terakhir menang di Buick LPGA Shanghai 2023, segera membalas dengan tiga birdie berturut-turut untuk mengukuhkan kedudukan dan terus mencatat kejayaan.
Pemain berusia 26 tahun itu menjadi warga Amerika keempat menjuarai LPGA Thailand, menyertai Lilia Vu (2023), Jessica Korda (2018), dan Lexi Thompson (2016). Dia juga merupakan naib juara dua kali dalam kejohanan utama di Kejohanan Chevron 2023 dan Terbuka Wanita AS 2019.
Walaupun menghuni tempat kedua, Iwai turut mencipta sejarah dengan catatan pusingan serendah 61 dalam kejohanan ini.
Dia membenam 10 birdie dan satu eagle di lubang terakhir dengan hanya satu bogey untuk menamatkan saingan dengan 261 pukulan.
Pemain ranking kedua dunia, Jeeno Atthikul dari Thailand, menduduki tempat ketiga dengan catatan 66 pada pusingan akhir, mengumpul 267 pukulan keseluruhan.
Sementara itu, juara bertahan Patty Tavatanakit dan rakan senegara Moriya Jutanugarn berkongsi tempat keempat dengan 269 pukulan.
Kejohanan tersebut merupakan hentian pertama dalam siri pusingan Asia LPGA sebelum jelajah berpindah ke Singapura dan China dalam tempoh dua minggu akan datang. – AP