Selepas setahun menyepi gara-gara terpalit kontroversi, pelakon China Angelababy akhirnya memberanikan diri berjumpa orang ramai.
Namun, kemunculannya disertai dengan air mata apabila dia tidak dapat menahan sebak ketika bertemu peminat yang masih setia menyokongnya.
Menerusi video tular, Angelababy sempat menyapa peminat serta berjalan mengelilingi lokasi acara sambil membalas dengan senyuman.
“Saya benar-benar terharu dan tak sangka masih ada yang setia menyokong saya,” ujarnya.
Menurut laporan mStar, sebagai tanda terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi, Angelababy menghadiahkan kira-kira 100 cawan teh susu kepada peminat.
Difahamkan, ini merupakan penampilan pertamanya sejak diboikot oleh warganet China pada penghujung 2023.
Kontroversi itu tercetus apabila dia didakwa menonton persembahan Lisa Blackpink di kelab Crazy Horse, di Paris.
Walaupun kehadirannya tidak pernah disahkan, kerjayanya terus tenggelam akibat kecaman hebat warganet.
Sejak itu, namanya digugurkan daripada pelbagai rancangan televisyen dan beberapa kontrak jenama turut ditamatkan. – Agensi


