Thursday, March 20, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angelina failkan aduan balas terhadap Brad

    Pelakon serta aktivis terkenal Hollywood, Angelina Jolie memfailkan aduan balas terhadap bekas suaminya, Brad Pitt (gambar bawah) pada Selasa lalu dan mendedahkan butiran baharu tentang perkara yang disifatkannya dalam dokumen mahkamah sebagai kelakuan kesat olehnya dalam pesawat persendirian pada 2016 yang membawa kepada pembubaran perkahwinan mereka.

    Menurut wakil peguam Angelina, Brad telah menuntut Angelina menandatangani perjanjian agar tidak mendedahkan atau memberi sebarang kenyataan mengenai penderaan fizikal serta emosi Brad terhadap anak-anak mereka kepada mahkamah jika Angelina mahu menjual bahagiannya dalam syarikat wain yang mereka miliki bersama.

    Menurut laporan yang dikeluarkan The New York Times, Brad dikatakan telah mencekik salah seorang dari enam anak mereka dan memukul seorang lagi di muka. Dia juga telah memegang dan menggoncang Angelina serta menuang bir ke atas Angelina. Dia juga didakwa pada satu ketika telah menuang bir dan wain ke atas anak-anak mereka.

    “Pertikaian itu bermula apabila Brad menuduh Angelina ‘terlalu menghormati anak-anak mereka dan kemudian mula menjerit kepadanya di dalam bilik air. Brad memegang kepala Angelina dan menggoncangnya, dan kemudian memegang bahunya serta menggoncangnya semula sebelum menolaknya ke dinding bilik air. Brad kemudian menumbuk siling pesawat berkali-kali, menyebabkan Angelina meninggalkan bilik air.

    “Apabila salah seorang daripada anak mereka datang membela Angelina, Brad menerjang kanak-kanak itu dan menangkapnya dari belakang. Di tengah-tengah pertengkaran itu, Brad mencekik salah seorang daripada anak mereka serta memukul seorang lagi di muka,” menurut kenyataan dalam fail saman itu.

    Insiden di dalam pesawat ini sentiasa menjadi subjek utama pihak media sejak 2016. Namun pada ketika itu, tiada butiran jelas tentang apa yang sebenarnya terjadi di dalam pesawat sehingga mendorong kepada penceraian pasangan ini. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda