Pelakon Hollywood, Angelina Jolie bercadang meninggalkan Los Angeles (LA), Amerika Syarikat dan berpindah ke Kemboja dengan kadar segera.
Memetik kenyataan mStar, pelakon filem Wanted itu juga memberitahu dia bercadang untuk meninggalkan dunia lakonan sepenuhnya bagi memberikan fokus kepada kehidupan baharu di negara itu.
Berita itu telah dikongsikan olehnya sendiri menerusi satu temu bual eksklusif bersama Wall Street Journal, baru-baru ini.
Menerusi temu bual berkenaan, Angelina memberitahu sejak daripada dahulu lagi dia tidak suka untuk menetap di Hollywood atas beberapa faktor.
Malah, dia tidak terfikir untuk meneruskan kerjaya lakonan sehingga usia tua.
Dalam pada itu, ada sumber mendedahkan impian pelakon berkenaan untuk berhijrah terbantut kerana masih terikat dengan bekas suaminya iaitu pelakon Brad Pitt.
Difahamkan antara faktor lain juga kerana dia terpaksa berdepan dengan proses penceraian yang panjang iaitu selama tujuh tahun dan ia menyulitkan untuk dia mendapatkan hak penjagaan anak-anaknya. – Agensi