Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angelina Jolie ulangi sokongan terhadap Gaza

    Pelakon Hollywood, Angelina Jolie sekali lagi menyatakan sokongan terhadap Gaza dengan berkongsi laporan organisasi kemanusiaan Doctors Without Borders mengenai krisis kemanusiaan di wilayah itu menerusi hantaran di Instagram baru-baru ini.

    Dalam hantaran itu, Jolie yang pernah berkhidmat lebih dua dekad sebagai duta khas untuk Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) – menampilkan kenyataan organisasi berkenaan yang menyifatkan keadaan di Gaza sebagai, “kubur besar bagi rakyat Palestin dan bagi mereka yang membantu,” lapor Anadolu Ajansi.

    “Ketika tentera Israel meneruskan dan memperluas serangan melalui udara, darat dan laut ke atas Semenanjung Gaza, memaksa penduduk berpindah serta menyekat bantuan penting secara sengaja, nyawa rakyat Palestin sekali lagi diragut secara sistematik,” menurut kenyataan itu.

    Hantaran berkenaan turut menyatakan bahawa serangan maut Israel menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan petugas bantuan kemanusiaan dan kesihatan di Gaza.

    Ia menggesa pihak berkuasa Israel agar segera menamatkan kepungan yang tidak berperikemanusiaan dan membawa maut ke atas wilayah itu, serta melindungi nyawa rakyat Palestin termasuk petugas kemanusiaan dan kesihatan.

    Kenyataan itu turut menyuarakan harapan agar gencatan senjata dapat diwujudkan semula.

    Sejak serangan dilancarkan pada Oktober 2023, lebih 51,000 penduduk Palestin terbunuh di Gaza dalam serangan ganas oleh Israel, majoritinya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. – Bernama/Anadolu

    Angelina Jolie ulangi sokongan terhadap Gaza dalam hantaran Instagram. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda