Pelakon Angeline Tan dianugerahkan Tokoh Maulidur Rasul 2025 bagi Kategori Saudara Baru Cemerlang sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada Jumaat.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam satu majlis penuh istiadat yang turut dihadiri pemimpin negara serta para agamawan.
Menurut laporan mStar, Angeline, 57, berkongsi perasaan mengakui tidak menyangka dirinya dipilih menerima anugerah tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu penghormatan besar dalam hidupnya.
“Saya rasa sangat bersyukur dan terharu. Macam tak percaya dipilih untuk terima anugerah yang sangat besar pada hari penuh keberkatan ini,” katanya kepada media.
Angeline memeluk Islam pada 26 September 2023 dan sejak itu aktif menyertai pelbagai program dakwah serta perkongsian ilmu bagi memperkenalkan Islam kepada masyarakat bukan Muslim.
Tambah Angeline, anugerah tersebut bukan hanya sekadar pengiktirafan, malah menjadi pemangkin semangat untuk terus memperjuangkan misi dakwahnya.
“Sejak saya masuk Islam, saya pernah kata pada diri sendiri, misi saya adalah untuk sebarkan Islam yang sebenar”.
“Saya nak bantu orang bukan Islam faham agama ini dengan betul, supaya tak ada lagi salah faham. Bila semua faham, insya-Allah negara jadi lebih aman dan damai”.
“Anugerah ini beri saya satu semangat baru. Ini adalah perjalanan panjang sejak saya memeluk Islam. Saya harap Allah terus beri saya peluang dan ruang untuk buat apa yang saya hajatkan selama ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Angeline turut menzahirkan penghargaan kepada suaminya, pelakon dan pengarah Sabri Yunus yang banyak membimbingnya sepanjang perjalanan memeluk dan memahami Islam.
“Anugerah ini juga saya titipkan buat Sabri dan keluarga, dan kalau bukan sebab Sabri saya tak dapat hayati Islam,” jelasnya. – Agensi


