KUALA LUMPUR, 7 APRIL – Sebarang dakwaan mengenai wujudnya aktiviti jual beli organ di negara itu perlu dianggap sebagai sesuatu yang amat serius oleh semua pihak kerana ia merupakan eksploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sekiranya terdapat aktiviti melibatkan pemerdagangan orang untuk tujuan jual beli organ, ia perlu disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“Pihak berkuasa boleh menggunakan peruntukan sedia ada di bawah akta itu untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak atau individu jika pemerdagangan orang berlaku untuk tujuan pengalihan organ secara haram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata perkhidmatan pendermaan organ dan transplantasi di negara itu melibatkan pendermaan organ daripada penderma hidup atau penderma selepas kematian (kadaverik) serta penerima organ iaitu pesakit yang mempunyai masalah kegagalan organ sama ada buah pinggang, hepar, jantung atau paru-paru.
Dr Noor Hisham berkata dasar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu jelas sebagaimana dalam Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal selia aktiviti pengambilan organ bagi tujuan perawatan daripada penderma selepas kematian (kadaverik).
Beliau berkata Malaysia juga telah menandatangani Deklarasi Istanbul mengenai Pemerdagangan Organ dan Pelancongan Transplan 2008 yang menyatakan bahawa organ untuk transplantasi haruslah diagihkan secara saksama kepada penerima sesuai, tanpa mengenal jantina, etnik, agama, status sosial atau kewangan. – Bernama