Anggaran jumlah penduduk meningkat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Anggaran penduduk pertengahan tahun 2019 bagi Negara Brunei Darussalam meningkat sebanyak 3.9 peratus iaitu seramai 459,500 orang berbanding 442,400 orang pada tahun sebelumnya.

Jumlah tersebut terdiri daripada 244,500 orang lelaki iaitu 53.2 peratus dan 215,000 orang perempuan bersamaan dengan 46.8 peratus dan nisbah bagi jantina adalah 114 orang lelaki bagi setiap 100 orang perempuan.

Penemuan utama ini telah dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam Laporan Anggaran Penduduk Pertengahan Tahun 2019 yang memberikan anggaran jumlah penduduk dan ciri-ciri utama demografi penduduk Negara Brunei Darussalam pada pertengahan tahun 2019.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPES, di sini, pengiraan anggaran ini berasaskan data muktamad Kemaskini Banci Penduduk dan Perumahan (KBPP) 2016 dan mengambilkira komponen utama perubahan penduduk iaitu kelahiran dan kematian bagi kenaikan semula jadi (natural increase) dan penghijrahan bersih (net migration).

Anggaran untuk tahun 2019, jelas kenyataan itu lagi, pengiraan bagi penghijrahan bersih telah dibuat dengan menggunakan data pentadbiran yang bersesuaian dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan.

Rajah menunjukkan anggaran penduduk pertengahan tahun 2019.

Manakala daripada jumlah penduduk pada tahun 2019, rakyat Brunei merupakan bahagian terbesar iaitu sebanyak 72.2 peratus bersamaan dengan 331,800 orang, sementara agihan penduduk tetap dan penduduk sementara adalah masing-masing sebanyak 7.3 peratus iaitu 33,500 orang dan 20.5 peratus bersama dengan 94,200 orang.

Daripada jumlah tersebut menunjukkan, Daerah Brunei dan Muara mempunyai penduduk yang paling ramai sebanyak 69.5 peratus iaitu 319,500 orang daripada jumlah penduduk.
Ini diikuti oleh Daerah Belait (16.5 peratus atau 75,900 orang), Daerah Tutong (11.5 peratus atau 52,700 orang) dan Daerah Temburong (2.5 peratus atau 11,400 orang).

Manakala dari aspek taburan umur pula, kira-kira 20.6 peratus (94,600 orang) daripada jumlah penduduk adalah berumur di bawah 15 tahun, 74.6 peratus (342,700 orang) adalah penduduk dalam kumpulan umur bekerja 15 hingga 64 tahun.

Penduduk yang berumur 65 tahun dan ke atas mencatat 4.8 peratus iaitu 22,200 orang dan umur penengah (median) pada tahun 2019 adalah 30.6 tahun berbanding 30.4 tahun pada tahun 2018.

Bangsa Melayu merupakan komuniti terbesar di negara ini pada kadar 65.8 peratus iaitu 302,200 orang daripada jumlah penduduk, sementara bangsa Cina dan lain-lain bangsa masing-masing merangkumi dari 10.3 peratus (47,200 orang) dan 24.0 peratus (110,100 orang) daripada jumlah penduduk.

Laporan Anggaran Penduduk Pertengahan Tahun 2019 boleh didapati melalui laman web JPES dan pertanyaan lanjut mengenai perkara ini bolehlah dirujuk ke JPES dengan menghubungi talian atau melayari laman sesawang di talian 2230250 atau 2230265 (waktu pejabat) atau email di [email protected] dan laman sesawang di www.deps.gov.bn.