MUNICH, 10 JAN – Bencana alam seperti taufan dan banjir dijangka menyebabkan kerugian global berjumlah AS$320 bilion pada 2024, menurut laporan yang dikeluarkan oleh syarikat gergasi reinsurans (insurans semula) Jerman, Munich Re kelmarin.
Kerugian tersebut jauh melebihi purata dalam beberapa dekad kebelakangan ini, menjadikannya antara tahun paling mahal bagi bencana alam sejak 1980, walaupun setelah diselaraskan dengan inflasi, menurut pengiraan syarikat berkenaan.
Menurut para saintis di syarikat yang berpangkalan di Munich, terdapat hubungan yang semakin jelas dengan perubahan iklim, iaitu suhu yang lebih panas menggalakkan pembentukan ribut yang lebih kuat.
“Dunia kini lebih panas berbanding sebelum ini,” kata ketua pakar klimatologi Munich Re, Tobias Grimm. “Fenomena ini menyebabkan ribut yang lebih kuat, cuaca ekstrem dan banjir besar.”
Hanya kira-kira AS$140 bilion daripada jumlah kerugian pada 2024 telah diinsuranskan, menurut Munich Re.
Menurut pengiraan Munich Re, purata kerugian tahunan yang diselaraskan mengikut inflasi daripada bencana alam dalam tempoh tiga dekad kebelakangan ini adalah sekitar AS$181 bilion. Untuk dekad yang lalu, purata kerugian tahunan lebih tinggi iaitu AS$236 bilion.
Dalam konteks kerugian yang diinsuranskan, 2024 merupakan tahun ketiga paling mahal sejak 1980, sementara jumlah kerugian keseluruhan pula adalah yang kelima tertinggi sejak 1980.
“Walaupun tidak semua ribut boleh dikaitkan dengan perubahan iklim,” tambah Grimm, “tetapi semakin jelas bahawa perubahan iklim memainkan peranan besar dalam peningkatan keparahan bencana.”
Munich Re telah memantau dan mendokumentasikan kerugian global akibat bencana alam selama beberapa dekad, kerana kerugian ini adalah faktor penting dalam penetapan premium insurans.
Sebagai syarikat penanggung insurans semula terbesar di dunia, Munich Re berperanan sebagai penanggung insurans bagi firma insurans lain. – Bernama/dpa