Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Kementerian Pertahanan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Kempen derma darah yang dilaksanakan oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dengan kerjasama Unit Tabung Simpanan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Kementerian Kesihatan, setakat ini berjaya menerima sebanyak 326 orang penderma sejak kempen itu mula dilaksanakan pada 1 Mac lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan hari ini, kempen derma darah itu adalah bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-56, di mana ia diadakan di semua unit angkatan tentera di semua garison, perkhemahan dan pangkalan ABDB.
Menurut kenyataan itu lagi, kempen derma darah itu diteruskan lagi kelmarin di Gimnasium, Bolkiah Garison. Sepanjang kempen derma darah itu diadakan, para penderma terlebih dahulu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dari wakil kesihatan dari Unit Tabung Simpanan Darah Hospital RIPAS bagi mengesahkan penderma darah yang layak menderma darah.


Sementara itu, Unit Tabung Simpanan Darah Hospital RIPAS dipetik sebagai berkata telah menggalakkan para penderma darah yang layak untuk mendermakan semua jenis darah untuk mengukuhkan tabung darah masyarakat untuk manfaat semua. Kempen derma darah itu juga menggalakkan anggota ABDB, keluarga dan mantan perajurit untuk ikut serta dalam kempen berkebajikan itu.
Selain itu, ia juga dihasratkan bagi memupuk sifat amal jariah dan mendidik kepentingan menderma darah untuk menyelamatkan nyawa.
Menurut Kementerian Pertahanan, kempen derma darah yang berikutnya akan diadakan di Akademi Pertahanan ABDB pada 5 dan 12 April, diikuti dengan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) di Pangkalan Muara pada 19 dan 26 April, Institut Latihan ABDB pada 20 April dan berakhir di Perkhemahan Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei pada 13 Julai nanti.