Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 15 NOV – Dengan rahmat dan hidayah Allah SWT, 22190 Soldadu Norashiqin binti Hamdan dari Jabatanarah Perisikan, Kementerian Pertahanan telah memeluk agama Islam dalam satu majlis pengislaman hari ini.
Majlis itu juga serentak meraikan adik beliau 53985 Laskar Mohammad Shafiee bin Hamdan, Tentera Laut Diraja Brunei, yang baru-baru ini telah memeluk agama Islam.
Majlis tersebut diadakan di kediaman ibu bapa mereka di Kampung Pengkalan Dong, Daerah Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub yang juga Penghulu Mukim Ukong; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad; Ketua Kampung Ukong, Awang Mohammad Hakimi bin Abdullah Gampar; Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh; pegawai-pegawai kanan ABDB, pegawai-pegawai dari PDI, anggota-anggota ABDB dan ahli keluarga saudara-saudara baharu berkenaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Al-Mu’minun dari ayat 1 hingga 11 yang dibacakan oleh Koperal Awang Zulilmi bin Haji Julahia dari Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT).
Majlis diteruskan dengan bacaan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Soldadu Norashiqin yang dipimpin oleh pegawai dari PDI, Daerah Tutong. Majlis disemarakkan lagi dengan laungan takbir sebanyak tiga kali, diikuti dengan bacaan Doa Pengislaman oleh Pemangku Pengarah JAMA’AT, Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar dan diakhiri dengan Dikir Marhaban dan menabur bunga rampai.
Majlis turut diteruskan dengan penyampaian cenderahati oleh Pemangku Pemerintah ABDB kepada Soldadu Norashiqin dan Laskar Mohammad Shafiee. Majlis disudahi dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan sesi bergambar ramai.