Anggota keselamatan cukup, mampu tangani COVID-19 – Ismail Sabri 

KUALA LUMPUR, 30 OKT – Jumlah anggota keselamatan negara masih mencukupi bagi menangani pandemik COVID-19 walaupun ada di antara mereka yang positif dan perlu dikuarantin akibat jangkitan virus tersebut.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya juga bersedia dengan sebarang kemungkinan dan mempunyai pelan tindakan bagi mengatasi masalah itu.

Katanya pelan itu termasuk menggerakkan anggota daripada kawasan yang lain, bagi membantu kawasan yang terkesan akibat anggota dikesan positif atau dikuarantin.

“Setakat ini kita masih mampu untuk ‘mobilised’ (menggerakkan) anggota daripada kawasan lain untuk membantu kawasan-kawasan yang terlibat, di mana anggota mereka dijangkiti.

“Kita masih mencukupi anggota, rakyat tidak perlu bimbang walaupun ada kes, kita masih bersedia dan mampu menambah anggota juga menggantikan anggota terlibat,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini. – Bernama

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kelmarin. – Bernama