Wednesday, July 17, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Anggota penyelamat Hawaii maut diserang jerung

    HAWAII, 24 JUN – Seorang anggota penyelamat profesional maut selepas diserang ikan jerung ketika meluncur di pulau Oahu di Hawaii petang kelmarin, kata pihak berkuasa.

    Anggota keselamatan Lautan Bandar dan Daerah Honolulu, Tamayo Perry, 49, terbunuh dalam serangan berhampiran Pulau Goat, kata Shayne Enright dari Jabatan Perkhidmatan Kecemasan Honolulu dalam satu kenyataan.

    Keselamatan Lautan Honolulu dan jabatan bomba, polis dan perkhidmatan perubatan kecemasan di bandar itu bertindak balas di Pantai Malaekahana di Pantai Utara Oahu sejurus sebelum jam 1 tengah hari, selepas seorang melaporkan ternampak seorang lelaki dibaham jerung, kata Enright.

    Anggota penyelamat membawa Perry ke pantai dengan jet ski dan paramedik mengesahkan kematiannya, kata Enright.

    Perry, yang bekerja sebagai penyelamat di North Shore, mula bekerja dengan jabatan Keselamatan Lautan pada Julai 2016, kata Enright.

    Gambar AP

    Berikutan serangan itu, kakitangan Keselamatan Lautan mengeluarkan amaran jerung di kawasan itu, kata Enright.

    Pemangku Ketua Keselamatan Lautan Honolulu, Kurt Lager berkata bahawa Perry adalah ‘seorang penyelamat yang disayangi oleh semua orang’.

    “Dia terkenal di North Shore. Dia seorang peluncur profesional yang terkenal di seluruh dunia,” kata Lager pada sidang akhbar.

    “Tamayo mempunyai keperibadian yang peramah dan sebagaimana orang menyayanginya, dia lebih menyayangi orang lain.

    “Tamayo ialah seorang ahli peluncur yang disegani,” kata Datuk Bandar Honolulu Rick Blangiardi, sambil menyebut kematian Perry sebagai ‘kehilangan yang tragis’. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Nepal, India kerjasama cari mayat hilang tragedi bas hanyut

    KATHMANDU, 17 JULAI – Pihak berkuasa tempatan sedang berkerjasama dengan pegawai sempadan daerah India untuk mencari mayat dalam kemalangan Simaltal, di mana tanah runtuh...