Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anggota polis didakwa bunuh Nur Farah Kartini

    HULU SELANGOR, 26 JULAI – Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini, atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit.

    Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 26, yang bertugas di Perak didakwa membunuh Nur Farah Kartini, yang merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di ladang kelapa sawit SKC Kledang, Hulu Bernam, antara 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang pada 15 Julai lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza kerana kes melibatkan hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes seterusnya.

    “Saya mohon tarikh sebutan seterusnya bagi menyerahkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan telekomunikasi,” katanya pada prosiding yang dipenuhi ahli keluarga tertuduh dan mangsa serta media.

    Muhammad Alif diwakili peguam, Aida Jaafar Mad Ariff dan Nur Aida Md Zainuddin. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda