Sunday, March 30, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anggota polis disyaki seludup mercun

    KUALA LUMPUR, 7 APRIL – Anggota polis yang ditahan kerana disyaki menyeludup mercun dan bunga api di Machang, Kelantan Selasa lepas akan dikenakan tindakan tegas.

    Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata selain berhadapan tindakan undang-undang, anggota itu juga akan dikenakan tindakan dalaman kerana menggunakan kenderaan pasukan di luar waktu bertugas bagi menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang.

    “Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat bukti anggotanya terlibat dengan kegiatan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Selasa lepas, seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditahan di Machang bersama rakannya ketika membawa pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM25,000.

    Ketika ditahan kedua-dua suspek berusia 32 dan 35 tahun itu menggunakan pacuan empat roda milik PDRM untuk melakukan kegiatan tersebut.

    Acryl Sani berkata kedua-dua suspek direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

    Beliau turut mengalu-alukan masyarakat untuk menyalurkan maklumat sahih bagi membolehkan tindakan diambil dalam membanteras sebarang salah laku atau aktiviti menyalahi undang-undang. – Bernama

    Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani semasa sidang media. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda