Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anggota polis trafik tular minta wang direman tiga hari

    IPOH, 31 JAN – Tiga anggota polis trafik direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung perbuatan meminta wang daripada pasangan pelancong warga United Kingdom (UK) untuk menyelesaikan saman trafik di Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands, baru-baru ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata ketiga-tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang ditahan itu berumur dalam lingkungan 37 hingga 42 tahun.

    “Ketiga-tiga mereka telah direman selama tiga hari bermula kelmarin bagi siasatan kes di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

    “Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

    Beliau berkata kertas siasatan berkaitan kes itu diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas ia dilengkapkan.

    “Siasatan dalaman turut dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman terhadap anggota terbabit. Kita juga meminta mangsa yang terlibat dalam kes ini tampil memberikan kerjasama agar siasatan dapat dilengkapkan dengan kadar segera,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata pihak polis memandang serius terhadap salah laku yang dilakukan oleh ketiga-tiga anggota berkenaan, selain tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan perbuatan seperti itu. – Bernama

    Gambar hiasan. – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda