Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) perlu memegang teguh dengan nilai-nilai teras iaitu neutral, beretika, berintegriti, mempunyai kompetibiliti, hormat menghormati dan sentiasa menjunjung konsep Melayu Islam Beraja.
Perkara tersebut ditekankan oleh tetamu kehormat, Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad di Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pelatih Polis Konstabel Lelaki dan Wanita Skuad 1/2023.
Beliau berkata, menjadi seorang anggota pasukan polis, bukan saja sekadar sebuah pekerjaan sahaja. Ia lebih daripada itu. Ia merupakan satu amanah yang besar dan tanggungjawab yang berat.
Beliau berkata, PPDB bukanlah hanya sekadar menangani penjenayah tetapi juga bertindak sebagai pelindung kepada masyarakat, menjaga keamanan dan keselamatan negara, menegak keadilan tidak mengira bangsa dan sebagainya.
Beliau juga mengetengahkan dengan trend jenayah yang semakin berubah seiring dengan kemajuan dan kepesatan teknologi serta peredaran zaman. Dan ini setentunya akan banyak memberi cabaran. Ia akan menguji keupayaan serta pengetahuan setiap anggota pegawai polis, ia perlu dijalankan dengan profesional serta disiplin yang tinggi dan mempraktikkan apa yang telah diajar selama ini.
Beliau juga menasihatkan semua anggota agar mengelakkan daripada terlibat dengan sebarang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa kerana ia bukan saja mencemarkan nama baik diri sendiri tetapi juga nama baik dan reputasi PPDB.
Dalam hal ini, beliau seterusnya menyeru kepada pihak kepimpinan PPDB untuk terus membimbing dan memimpin anggota-anggota pasukan polis untuk sentiasa memegang teguh integriti dan etika yang terus dan amanah.
Ini sejajar dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sempena Acara Istiadat Penganugerahan Bendera Panji-panji Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 18 Januari lalu. Baginda menyeru agar semua pegawai anggota pasukan polis untuk sentiasa mengukuh etika kerja yang baik berdisiplin, berintegriti dan profesional dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Disiplin yang kukuh bukan saja membentuk keperibadian pegawai anggota polis yang cemerlang, tetapi juga tentang pertahanan pada cabaran moral dan etika, tambah tetamu kehormat.
Selesai ucapan daripada tetamu kehormat, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pelatih terbaik dalam akademik dan pelatih terbaik dalam latihan luar.
Pada majlis berkenaan, seramai 86 orang lelaki dan wanita pelatih berjaya menamatkan Latihan Polis Konstabel Lelaki dan Wanita Skuad 1/2023.
Majlis seterusnya dengan menyaksikan persembahan pelatih polis konstabel lelaki dan wanita Skuad 1/2023 berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat dan mara ke hadapan untuk diperhati semula.
Seterusnya tetamu kehormat dijemput oleh Komandan Pusat Latihan Polis, Penguasa Kanan Polis Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman, untuk menyampaikan Hadiah Pelatih Rekrut Terbaik Latihan Luar kepada 7113 Mohammad lgbal bin Noor dan 7154 Aine Shahirah binti Zaini sebagai Pelatih Terbaik Dalam Akademik.
Selesai perbarisan, majlis seterusnya di Dewan Serba Guna Pusat Latihan Polis yang mana tetamu kehormat turut diperkenalkan kepada pelatih-pelatih rekrut yang berjaya menamatkan latihan serta bergambar ramai bersama para bekas rekrut yang diraikan.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pemangku Pesuruhjaya Polis, DCP Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin dan Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Amat Mulia SAC Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, pemangku, para pengarah dan timbalan pengarah, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai pemerintah daerah polis, pegawai-pegawai kanan serta ahli-ahli keluarga para pelatih rekrut yang diraikan.