Tuesday, April 8, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anggota tentera mengaku tidak bersalah tumbuk wanita

    SEREMBAN, 7 APRIL – Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menumbuk seorang wanita di bahagian kepala dalam kejadian di Taman Satria, Senawang, Negeri Sembilan pada 29 Mac lepas.

    Abdul Hafis Abu Bakar, 35, didakwa dengan sengaja menumbuk Syairah Md Sharom, 28, di lokasi itu pada jam 10:20 malam.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal mencadangkan jaminan RM2,000 terhadap tertuduh.

    Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Chrysandy Lai yang mewakili lelaki itu memohon jumlah tersebut dikurangkan atas alasan anak guamnya mempunyai dua anak yang masih kecil serta menjaga ibu bapa.

    Majistret Syed Farid Syed Ali membenarkan Abdul Hafis diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan semula kes.

    Terdahulu, lelaki itu ditahan selepas dia dikatakan menggunakan kekerasan terhadap seorang pemandu wanita sehingga menyebabkan lebam di bahagian rusuk sebelah kanan dan bengkak di bahagian belakang kepala.

    Ia susulan wanita itu, yang memandu sebuah kereta tidak sempat mengelak ketika isteri lelaki tersebut dan anak perempuan mereka berusia tujuh tahun melintas jalan, menyebabkan kedua-duanya cedera ringan. – Bernama

    Abdul Hafis Abu Bakar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menumbuk seorang wanita di bahagian kepala dalam kejadian di Taman Satria, Senawang pada 29 Mac lepas. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda