GENEVA, 20 MEI – Negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan satu resolusi yang menggesa penerimaan perjanjian global penting, bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi pandemik di seluruh dunia, lapor Xinhua.
Perjanjian Pandemik WHO serta resolusi untuk pelaksanaannya secara rasmi dijangka diterima pakai pada Selasa dalam sesi pleno Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA), badan pembuat keputusan tertinggi WHO.
Kelulusan pada Isnin yang dicapai menerusi mesyuarat Jawatankuasa WHA adalah hasil rundingan yang memakan masa lebih tiga tahun.
Menurut kenyataan WHO, perjanjian itu yang pertama seumpamanya, bertujuan menangani jurang dan ketidaksamaan dalam aspek pencegahan, persediaan dan tindak balas terhadap pandemik, sekali gus memperkukuh kerjasama antarabangsa. – Bernama
