Anggun raih penghargaan di Rusia

Penyanyi tersohor Indonesia, Anggun C Sasmi, 46, menerima penghargaan ‘Duet of the Year’ untuk lagu Caruso kolaborasi dengan penyanyi legenda Itali, mendiang Luciano Pavarotti dalam Bravo International Classical Music Awards di Rusia pada Sabtu lalu.

Bravo International Classical Music Awards antara acara muzik terbesar dunia berlangsung di Teater Bolshoi, Moscow. Anggun menyatakan perasaan bangga apabila menerima penghargaan khas di panggung lagenda itu.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Snow on the Sahara itu juga memuatkan naik beberapa gambar bersama trofi kemenangan menerusi Instagram (IG).

Anggun turut memuat naik gambar sedang menyanyi memakai gaun merah dengan latar belakang wajah Pavarotti.

“Saya berbangga diberi penghargaan khusus ini.

“Saya bersyukur mendapat penghargaan ‘Duet of the Year’ menerusi Bravo Music Awards Classical. Saya menyanyi secara virtual dengan maestro Pavarotti di Bolshoi Theatre,” tulis Anggun dalam IG pada Isnin lalu.

Mengikut laporan CNN Indonesia, Pavarotti meninggal dunia pada 2007 dan gandingan duet mereka dibuat secara virtual pada 2019. Ia bermula apabila Anggun bertemu isteri Pavarotti selepas ideanya tercetus di Asia’s Got Talent akhir pada 11 April 2019.

Rakaman lagu asal Pavarotti diperdengarkan dan Anggun memasukkan suara pada bahagian yang dikhususkan untuknya. Dengan single yang banyak disenaraikan dalam carta lagu di Russia, Anggun antara penyanyi terlaris Indonesia dan Asia di negara itu. – Agensi

Anggun C Sasmi, 46, menerima penghargaan ‘Duet of the Year’ untuk lagu Caruso kolaborasi dengan penyanyi legenda Itali, mendiang Luciano Pavarotti. – Agensi