Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angin kencang badai negara

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN & TUTONG, 30 OGOS – Angin kencang berserta hujan yang melanda Negara Brunei Darussalam pada tengah hari tadi telah menyebabkan beberapa kejadian di luar jangkaan di beberapa kawasan di negara ini.

    Menurut pemantauan Media Permata, beberapa kejadian pokok besar tumbang di sekitar laluan jalan raya Kampung Penanjong, Daerah Tutong telah menghempap dan merosak teruk salah sebuah kereta yang sedang dalam perjalanan menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat.

    Selain itu, kejadian kerosakan gerai di kawasan Kampung Rimba dan juga kerosakan papan besi iklan sehingga roboh dan jatuh ke bahagian jalan raya dilaporkan di kawasan Batu Bersurat akibat angin kencang berserta hujan tadi.

    Dalam pada itu, Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam kenyataannya hari ini menyatakan kelajuan angin tertinggi telah direkodkan pada pukul 1:09 petang waktu tempatan di Stesen Pencerapan Kaji cuaca, Lapangan Terbang Antarabangsa yang mencecah 72 kmsj, semasa negara dilanda kejadian angin kencang berserta hujan.

    Jumlah turunan hujan yang telah direkodkan dari 1 hingga 29 Ogos adalah sebanyak 288.5 mm iaitu sedikit di atas jumlah normal.

    Kejadian hujan badai atau hujan berangin kencang masih berpotensi berlaku bagi beberapa hari akan datang sehingga 3 September ini, terutama di kawasan pesisiran dan perairan Negara dan juga berpotensi merebak ke kawasan pedalaman.

    Manakala kelajuan angin boleh meningkat sehingga 60 ke 75 kmsj semasa atau dekat hujan berangin kencang. Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana, di antara 0.8 hingga 1.3 meter.

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko kejadian pokok tumbang dan tanah susur semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Banjir kilat juga boleh berlaku terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Orang ramai, para pemandu di jalan raya, dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Kejadian gerai roboh semasa angin kencang dan hujan kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Kejadian pokok tumbang di sekitar laluan jalan raya Kampung Penanjong, Daerah Tutong menyebabkan kerosakan teruk salah sebuah kereta yang sedang dalam perjalanan menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda