LOS ANGELES, 30 OKT – California bersedia hadapi angin paling kencang pada musim ini yang mengancam memburukkan lagi kebakaran yang melanda negeri itu dan mungkin mencetuskan kebakaran baharu.
Ribuan anggota bomba sedang berusaha siang dan malam untuk mengawal dua kebakaran besar – Api Kincade di utara California dan Api Getty, barat Los Angeles.
Perkhidmatan Cuaca Negara mengeluarkan satu amaran menandakan risiko tinggi kebakaran hutan di selatan California, dengan kelajuan angin sehingga 130 kilometer sejam dijangka di Santa Monica dan pergunungan Los Angeles.
“Angin Santa Ana ini mungkin merupakan yang paling kuat yang kami lihat setakat ini pada musim ini,” kata perkhidmatan cuaca, merujuk kepada angin yang melanda selatan California setiap tahun.
Ribut angin dijangka mencapai kemuncak pada pukul 3:00 pagi hari ini dan berterusan sehingga esok.
“Ia hanya memerlukan satu percikan, satu percikan untuk memulakan satu kebakaran hutan,” kata Ketua Jabatan Bomba Los Angeles Ralph Terrazas pada persidangan akhbar.
“Percikan mampu bergerak beberapa batu, maka kami amat bimbang mengenai keadaan angin pada malam ini,” tambah beliau. – AFP
