NEW YORK, 10 MAC – Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran belukar di kawasan berhutan Long Island kelmarin, namun pihak berkuasa memberi amaran angin kencang bermakna risiko kebakaran masih kekal tinggi.
Gabenor New York, Kathy Hochul mengisytiharkan darurat pada Sabtu selepas empat kebakaran berasingan melanda kawasan luas di Pine Barrens, Long Island. Kejadian itu menyebabkan penutupan lebuh raya serta pemindahan pangkalan tentera
berhampiran.
Menurut Penyelaras Kebakaran Suffolk County, Rudy Sunderman, semua api kelihatan berjaya dipadamkan, termasuk kebakaran terakhir di Westhampton.
Bagaimanapun, pasukan bomba masih membina garis kawalan bagi mengelakkan api merebak semula.
Jabatan Meteorologi Kebangsaan menjangkakan angin kencang dengan kelajuan sehingga 48km/j, yang boleh mencetuskan kebakaran baharu.
“Kami bimbang kerana angin masih bertiup kencang, yang boleh menyebabkan api kembali marak,” kata Pegawai Eksekutif Suffolk County, Ed Romaine.
Lebih 80 pasukan bomba sukarela dikerahkan untuk memadam kebakaran yang telah memusnahkan sekitar 600 ekar kawasan hutan. Dua anggota bomba mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang. – AP
