TAWAU, 27 OGOS – Pergerakan angin seakan-akan puting beliung, menjadi antara penyumbang berlakunya kebakaran dengan pantas sehingga memusnahkan kira-kira 60 rumah di Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat di sini, malam tadi.
Seorang mangsa, Normadiah Hussin, 32, berkata faktor angin kuat, selain tekanan air rendah menyebabkan kerja-kerja pemadaman api sukar dilakukan.
“Angin kuat semalam, api cepat merebak, dengan keadaan rumah rapat, orang kampung turut membantu sehingga naik ke bumbung rumah untuk memadam api.
“Bomba juga datang awal untuk memadam api tapi tekanan air rendah,” katanya ketika ditemui Bernama. Menceritakan detik kejadian, Normadiah yang juga Guru Besar Sekolah Rendah Islamiah Al-Furqan, Tawau itu berkata ketika kejadian dia serta sembilan ahli keluarganya yang lain sedang berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen, sebelum dikejutkan suara jeritan kebakaran.
“Rumah kami selang lapan rumah dari rumah yang mula terbakar, saya tidak dapat selamatkan barang lain hanya dokumen pengenalan diri.
“Keadaan di luar rumah panik, dengan bunyi orang menjerit, bunyi letupan, kaca pecah dan ketika itu asap mula memenuhi ruangan rumah, kami sekeluarga berlari keluar rumah,” katanya. Rata-rata mangsa kebakaran yang ditemui Bernama memerlukan bantuan segera berupa pakaian dan makanan. Difahamkan lebih lima kebakaran besar pernah berlaku di kawasan Tanjung Batu sejak 2010.
Bomba melaporkan dianggarkan 60 rumah musnah kebakaran di Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat dalam kejadian 7:40 malam. – Bernama