Thursday, February 13, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angka kematian akibat serangan rempuhan kereta di Jerman meningkat

    BERLIN, 7 JAN – Angka kematian akibat serangan kereta yang merempuh pasar Krismas di bandar Magdeburg, Jerman timur, pada bulan Disember telah meningkat kepada enam orang, menurut pihak pendakwa raya kelmarin.

    Seorang wanita berusia 52 tahun meninggal dunia di hospital akibat kecederaan yang dialaminya dalam serangan tersebut, kata pendakwa raya di bandar Naumburg yang berdekatan.

    Sebuah kenderaan utiliti sukan BMW berwarna hitam telah merempuh pasar tradisional pada 20 Disember, melanggar dan mencederakan orang ramai di antara gerai-gerai perayaan.

    Seramai 299 orang dilaporkan cedera dalam serangan itu, menurut angka terkini daripada Kementerian Dalam Negeri, negeri Saxony-Anhalt.

    Seorang pakar psikiatri Saudi, Taleb al-Abdulmohsen, 50, telah ditahan di lokasi kejadian, tetapi motif suspek masih tidak jelas.

    Abdulmohsen sebelum ini menyuarakan pandangan anti-Islam yang kuat, kemarahan terhadap pihak berkuasa Jerman dan sokongan terhadap dasar konspirasi sayap kanan mengenai Islamisasi Eropah dalam banyak hantaran dalam talian.

    Menteri Dalam Negeri, Nancy Faeser berkata minggu lalu bahawa terdapat tanda-tanda suspek mengalami masalah kesihatan mental.

    Pasukan keselamatan kelmarin telah memindahkan beliau melalui udara dari penjara Burg berhampiran Magdeburg ke sebuah fasiliti tahanan di bandar Dresden, Jerman timur. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda