HANOI, 9 SEPT – Sebuah jambatan runtuh dan sebuah bas dihanyutkan oleh banjir hari ini ketika lebih banyak hujan turun di utara Vietnam akibat taufan yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 59 orang di negara Asia Tenggara itu, lapor media kerajaan.
Sembilan orang maut semasa taufan itu, yang mendarat di Vietnam pada Sabtu sebelum bertambah lemah menjadi ribut tropika, dan 50 orang yang lain meninggal dunia semasa banjir dan tanah susur yang berlaku selepas itu. Paras air beberapa sungai di utara Vietnam berada pada tahap berbahaya.
Sebuah bas penumpang yang membawa 20 orang dihanyutkan ke dalam sungai yang dinaiki air akibat tanah susur di wilayah pergunungan Cao Bang pada pagi ini. Pasukan penyelamat telah dikerahkan tetapi tanah susur menghalang laluan ke tempat kejadian.
Di wilayah Phu Tho, operasi menyelamat diteruskan selepas sebuah jambatan besi di Sungai Merah yang melimpah runtuh pada pagi ini. Laporan mengatakan 10 kereta dan lori bersama dua motosikal jatuh ke dalam sungai. Tiga orang ditarik keluar dari sungai dan dibawa ke hospital, tetapi 13 orang masih hilang.
Pham Truong Son, 50, memberitahu VNExpress bahawa dia sedang menunggang motosikalnya di atas jambatan apabila dia terdengar bunyi yang kuat. Dalam sekelip mata, dia telah terjatuh ke dalam sungai.
“Saya rasa seperti tenggelam ke dasar sungai,” kata Son kepada akhbar itu, sambil menambah dia berjaya berenang dan berpaut pada pokok pisang yang hanyut untuk kekal terapung sebelum diselamatkan. – AP