Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angka kematian banjir di Bosnia meningkat

    SARAJEVO, 9 OKT – Kira-kira 22 orang terbunuh dalam banjir besar dan tanah susur yang melanda Bosnia minggu lalu ketika pasukan penyelamat masih mencari enam mangsa yang hilang, kata pihak berkuasa kelmarin.

    Dengan hujan lebat baharu dijangka berlaku, perkhidmatan perlindungan awam telah mengarahkan pemindahan segera penduduk dari kawasan terancam di Jablanica dan Konjic yang paling terjejas akibat banjir Jumaat lalu.

    Kerajaan wilayah selatan Herzegovina-Neretva – di mana Jablanica dan Konjic terletak – melaporkan 19 orang telah terkorban di sana, memetik data daripada polis dan perkhidmatan perlindungan awam.

    Tiga lagi mangsa ditemui di wilayah Bosnia Tengah.

    Banjir dan tanah runtuh yang melanda negara itu Jumaat lalu telah menghanyutkan jalan raya, landasan kereta api dan jambatan, menyebabkan banyak kawasan berhuni terputus hubungan, dengan pihak berkuasa masih berusaha untuk mengakses beberapa kawasan tersebut.

    Perkampungan Donja Jablanica, yang terletak kira-kira 70 kilometer di barat daya ibu negara Sarajevo, nampaknya mengalami kesan paling teruk akibat hujan lebat itu.

    Kampung itu tertimbus di bawah lumpur, batu dan serpihan granit dari kuari berdekatan, dengan rumah-rumah musnah dan kenderaan rosak. – AFP

    Pasukan penyelamat mencari mangsa yang terperangkap berikutan hujan lebat di kampung Donja Jablanica di barat daya Sarajevo pada 5 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda