Saturday, September 23, 2023
23.7 C
Brunei

    -

    Angka kematian banjir Libya cecah 5,100

    DERNA, LIBYA, 13 SEPT – Angka kematian akibat banjir yang melanda bandar Derna di timur Libya kini mencecah lebih 5,100 dan dijangka terus meningkat, kata seorang pegawai kesihatan tempatan hari ini, ketika pihak berkuasa bergelut untuk mendapatkan bantuan ke bandar pantai di mana ribuan masih hilang dan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal.

    Pekerja bantuan yang berjaya sampai ke bandar itu, yang terputus bekalan elektrik pada malam Ahad ketika banjir kilat menghanyutkan sebahagian besar jalan masuk, menggambarkan kehancuran di Pusat Derna. Pasukan mencari dan menyelamat mengalihkan runtuhan-runtuhan bangunan pangsapuri yang hancur untuk mencari dan mendapatkan mayat yang terapung di luar pantai Laut Mediterranean.

    “Mayat ada di mana-mana, di dalam rumah, di jalanan, di laut. Ke mana sahaja awda pergi, awda akan menemui mayat lelaki, wanita dan kanak-kanak,” kata Emad Al-Falah, seorang pekerja bantuan dari Benghazi, melalui telefon dari Derna. “Seluruh keluarga telah hilang,” katanya.

    Ribut Mediterranean Daniel menyebabkan banjir maut di banyak bandar di timur Libya, tetapi yang paling teruk adalah Derna. Ketika ribut melanda pantai itu Ahad lalu, penduduk berkata mereka mendengar letupan kuat apabila empangan di luar bandar musnah. Air banjir menghanyutkan Wadi Derna, sungai yang mengalir dari gunung melalui bandar dan ke laut.

    “Bandar Derna ditenggelami ombak setinggi 7 meter yang menghancurkan semua yang ada di laluannya,” kata Yann Fridez, ketua delegasi jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa di Libya, kepada penyiar France24. “Kesannya terhadap manusia sangat besar,” ujarnya.

    Derna terletak di dataran pesisir sempit di Mediterranean di bawah gunung yang curam di sepanjang pantai. Hanya dua jalan dari selatan masih boleh digunakan, dan ia melibatkan laluan yang panjang dan berliku melalui pergunungan. – AP

    Orang ramai mengebumikan mayat mangsa banjir baru-baru ini yang disebabkan oleh ribut Mediterranean Daniel berhampiran bandar Derna, Libya. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...