Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angka kematian banjir Sierra Leone cecah 441

    FREETOWN, 20 Ogos – Angka kematian akibat banjir lumpur yang melanda ibu negara Sierra Leone, Freetown sudah mencecah 441 orang, menurut kerajaan semalam.

    “Sebanyak 441 mayat dikebumikan setakat semalam,” kata timbalan menteri maklumat dan komunikasi, Cornelius Deveaux memberitahu AFP, menambah bahawa jumlah mereka yang hilang ‘masih lagi dikira.’

    Kiraan kematian dikeluarkan pada Jumaat oleh Palang Merah, berjumlah lebih daripada 400, dengan sekitar 600 lagi disenaraikan hilang.

    Di Hospital Connaught, pekerja rumah mayat Mohamed Sinneh Kamara memberikan jumlah kematian agak tinggi berbanding diberikan menteri.

    “Kami menguburkan 50 mayat pada Jumaat. Setakat ini kami menguburkan 450 mayat,” katanya memberitahu AFP. “Kebanyakan mayat yang kami temui reput dan keluarga tidak dibenarkan mengenal pasti mereka.”

    Sukarelawan dan askar menemui mangsa dalam lumpur susulan runtuhnya sebahagian sisi bukit yang meranapkan rumah-rumah di Freetown. Angka kematian akibat banjir lumpur di negara itu mencecah 441 orang, dengan sekitar 600 lagi disenaraikan hilang, menurut kerajaan. – AFP
    Sukarelawan dan askar menemui mangsa dalam lumpur susulan runtuhnya sebahagian sisi bukit yang meranapkan rumah-rumah di Freetown. Angka kematian akibat banjir lumpur di negara itu mencecah 441 orang, dengan sekitar 600 lagi disenaraikan hilang, menurut kerajaan. – AFP

    Dia menambah: “Kami menerima panggilan daripada masyarakat dilanda bencana setiap tiga hingga empat jam mengenai mayat ditemui dalam longkang atau di bawah bangunan runtuh.”

    Tiga lagi mayat ditemui dalam satu pencarian bagi mangsa-mangsa selamat di daerah Regent, di mana sisi sebuah bukit runtuh, menurut perkhidmatan kecemasan.

    Bencana melanda pada Isnin selepas Freetown, kediaman bagi 1.2 juta orang dan ibu negara sebuah negara paling miskin dunia, dihentam hujan selama tiga hari berturut-turut.

    Menurut badan kebajikan Save the Children, bencana membunuh 122 kanak-kanak dan mengakibatkan 123 lagi yatim piatu. Penyakit bawaan air seperti kolera dan malaria menjadi kebimbangan utama.

    Manakala Palang Merah sudah pun merayu bagi dana kecemasan.

    Britain, bekas kuasa kolonial di Sierra Leone, berikrar menyumbangkan 5 juta sterling manakala China berjanji menyumbangkan 850,000 euro dan Togo $500,000. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda