DHAKA, 2 OKT – Lebih 1,000 orang di Bangladesh telah meninggal dunia akibat demam denggi sejak awal tahun ini, menurut angka rasmi, yang menunjukkan wabak penyakit bawaan nyamuk terburuk pernah dicatatkan di negara itu.
Denggi merupakan penyakit endemik di kawasan tropika yang menyebabkan demam panas, sakit kepala, mual, muntah, sakit otot dan dalam kes yang paling serius, pendarahan yang boleh menyebabkan kematian.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran bahawa denggi dan penyakit lain yang disebabkan oleh virus bawaan nyamuk seperti chikungunya, demam kuning dan Zika sedang merebak dengan cepat dan lebih meluas disebabkan oleh perubahan iklim.
Angka daripada Direktorat Perkhidmatan Kesihatan negara Bangladesh yang diterbitkan malam kelmarin menyatakan bahawa 1,006 orang telah meninggal dunia, dengan lebih daripada 200,000 kes telah disahkan.
Bekas pengarah agensi itu, BeNazir Ahmed memberitahu AFP, hari ini bahawa jumlah kematian setakat tahun ini adalah lebih tinggi daripada setiap tahun sebelumnya sejak 2000.
“Ia merupakan kejadian kesihatan yang penting, di Bangladesh dan di dunia,” tambahnya.
Antara yang maut adalah 112 kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah, termasuk anak damit, menurut data rasmi.
Angka tahun ini jauh lebih tinggi daripada jumlah sebelumnya dari 2022, apabila 281 kematian direkodkan.
Para saintis telah mengaitkan wabak tahun ini kepada hujan yang tidak teratur dan suhu yang lebih panas semasa musim tengkujuh tahunan yang telah mewujudkan keadaan pembiakan yang ideal bagi nyamuk. – AP