Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angka kematian gempa Turki cecah 60 orang

    IZMIR, TURKI, 1 NOV – Pasukan mencari dan menyelamat Turki hari ini mengeluarkan mangsa warga emas berusia 70 tahun daripada serpihan bangunan yang runtuh di barat Turki, kira-kira 34 jam selepas gempa bumi kuat melanda Lautan Aegean antara Turki dan Greece, mengorbankan sekurang-kurangnya 60 orang dan mencederakan lebih 900 lagi yang lain.

    Ia merupakan penyelamatan menakjubkan terkini selepas gempa bumi pada petang Jumaat waktu tempatan yang berpusat di Aegean, barat laut pulau Samos, Greek.

    Pasukan mencari dan menyelamat ketika itu sedang melakukan kerja-kerja menyelamat di sembilan bangunan yang sama ada runtuh atau rosak di Izmir, bandar ketiga terbesar Turki, namun lebih banyak menemui mayat berbanding yang terselamat, hari ini.

    Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menaikkan angka kematian di Izmir kepada 58 hari ini. Dua orang remaja terbunuh pada Jumaat di Samos dan sekurang-kurangnya 19 cedera.

    Terdapat perdebatan mengenai kekuatan gempa bumi. Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) mengatakan ia pada kadar 7 magnitud manakala Institut Kandilli Istanbul meletakkannya pada 6.9 dan Pejabat Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD) mengatakan ia 6.6 magnitud.

    Seorang anggota mencari dan menyelamat berehat selepas operasi mencari di tengah-tengah serpihan bangunan di Izmir, Turki, 1 November. Pasukan mencari dan menyelamat terpaksa memecahkan dan mencari mangsa dalam blok-blok konkrit dan serpihan bangunan di bandar itu selepas ia terjejas teruk dilanda gempa bumi. – AP

    Ahmet Citim, 70, dikeluarkan dari runtuhan di tengah-tengah malam dan kini dirawat di hospital.

    Menteri Kesihatan Turki, Fahrettin Koca menulis di Twitter bahawa Citim mengatakan, ‘Saya tidak pernah putus harapan.’ Menteri itu melawat warga emas itu dan mengatakan dia baik-baik sahaja.

    Gempa bumi mencetuskan tsunami kecil yang melanda Samos dan daerah Seferihisar di Izmir, melemaskan seorang wanita tua.

    Gegaran susulan boleh dirasakan di seluruh barat Turki, termasuk di Istanbul dan juga bandar Greek, Athens. Beratus-ratus gegaran susulan berlaku selepas itu. Agensi bencana Turki mengatakan 920 orang cedera di Turki sahaja.

    Naib Presiden Turki, Fuat Oktay mengatakan 26 bangunan rosak teruk akan dimusnahkan.

    “Ia bukannya gempa bumi yang membunuh, tetapi bangunan,” tambahnya, mengulangi satu slogan biasa. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda