Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angka kematian koronavirus terus meningkat

    WUHAN, CHINA, 30 JAN – China melaporkan peningkatan terbesar dalam kematian koronavirus dalam satu hari pada hari ini, tatkala kebimbangan meningkat di seluruh dunia dengan lebih banyak jangkitan disahkan di luar negara termasuk tiga warga Jepun yang dipindah dari pusat wabak.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia, yang tidak menghebohkan penyakit yang telah membunuh 170 orang di China sekarang, hari ini bersedia untuk bertemu dan memutuskan sama ada mengisytiharkannya satu kecemasan global.

    Namun kerajaan, syarikat dan rakyat di seluruh dunia telah pun menambah usaha untuk membendung penyakit tersebut, yang dipercayai muncul dari sebuah pasar haiwan di tengah bandar China Wuhan.

    Banyak kerajaan telah menyeru rakyat mereka supaya jangan melawat China, sementara sesetengah kerajaan telah mengharamkan kemasukan pelawat dari Wuhan.

    Sekurang-kurangnya 15 negara telah mengesahkan jangkitan, dengan India melaporkan kes pertamanya hari ini.

    Kakitangan perubatan dalam pakaian perlindungan dilihat membawa seorang pesakit dari sebuah pangsapuri yang disyaki dijangkiti virus di Wuhan, wilayah Hubei kelmarin. – AFP

    Syarikat penerbangan mulai membatalkan penerbangan dari China semalam, dan lebih banyak lagi menyusul hari ini.

    Rusia berkata ia sedang menutup sempadan timur dengan China disebabkan wabak berkenaan.

    Beijing telah mengambil langkah luar biasa untuk membendung penyebaran virus, termasuk mengkuarantin lebih daripada 50 juta orang di Wuhan dan wilayah Hubei.

    Kerajaan pada hari ini melaporkan 38 kematian baharu dalam tempoh 24 jam sebelumnya, jumlah tertinggi dalam satu hari sejak virus dikesan pada akhir tahun lalu.

    Kesemua kecuali satu kematian baharu dicatat di Hubei.

    Jumlah kes baharu juga meningkat kepada 7,711, kata Suruhanjaya Kesihatan Nasional. Seramai 81,000 orang diletak di bawah pemerhatian untuk mengesan jangkitan tersebut.

    Patogen itu dipercayai muncul dari sebuah pasar yang menjual haiwan liar, dan merebak ketika musim cuti Tahun Baharu Cina di mana ratusan juta rakyat Cina berkunjung dalam dan luar negara. Beribu-ribu warga asing telah terperangkap di Wuhan sejak ia ditutup pada minggu lalu.

    Jepun dan Amerika Syarikat (AS)semalam menjadi negara pertama yang menganjurkan penerbangan dari Wuhan untuk rakyat mereka. Penerbangan AS kedua dirancang diadakan pada hari-hari akan datang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda