MOSCOW, 21 SEPT – Angka korban akibat letupan gas dan runtuhan bangunan kediaman di bandar Balashikha Wilayah Moscow meningkat kepada tujuh, selepas mayat seorang wanita dan seorang kanak-kanak ditemukan di bawah runtuhan itu, menurut Kementerian Situasi Kecemasan Rusia hari ini, lapor Sputnik.
“Operasi mencari dan mengalihkan serpihan di Balashikha telah selesai. Seramai 27 orang cedera, tujuh daripadanya meninggal dunia. Lapan mangsa dibawa ke hospital,” menurut kementerian itu menerusi hantaran di Telegram.
Letupan berlaku kelmarin di tingkat empat bangunan kediaman, lalu mengakibatkan tingkat tiga dan empat runtuh. Semasa operasi menyelamat, enam pekerja kecemasan terperangkap di bawah runtuhan apabila bangunan itu runtuh buat kali kedua, dengan dua daripada mereka maut. – Bernama