Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angka kematian meningkat di Filipina

    MANILA, 31 Dis – Jumlah kematian yang berlaku akibat angin kuat yang melanda Filipina selepas perayaan Krismas meningkat kepada 68 orang dan dijangka bertambah, menurut para pegawai pertahanan awam hari ini.

    Seramai 57 orang meninggal dunia di rantau pergunungan Bicol, tenggara Manila, manakala 11 lagi maut di pulau Samar, kebanyakannya disebabkan tertimbus tanah susur dan lemas, kata pegawai.

    “Saya bimbang angka kematian akan meningkat kerana masih banyak kawasan yang perlu kami bersihkan,” kata Pengarah Pertahanan Awam Bicol, Claudio Yucot.

    Angin kuat yang dikenali sebagai ‘Usman’ melanda negara itu Sabtu lalu. Sekalipun tidak mendatangkan angin yang sangat kuat, cuaca tersebut telah menyebabkan hujan lebat sehingga berlaku banjir dan melonggarkan tanah serta mengakibatkan tanah susur di beberapa kawasan.

    Orang ramai gagal mengambil langkah awal yang diperlukan memandangkan kekuatan Usman tidak mencukupi untuk dikategorikan sebagai angin taufan di bawah sistem amaran ribut kerajaan, kata Yucot.

    “Orang ramai terlalu yakin kerana mereka dalam suasana percutian bersempena perayaan Krismas dan tiada amaran taufan tropika,” katanya kepada AFP.

    Meskipun Usman bergerak jauh ke arah barat dari negara itu, kebanyakan kawasan masih mengalami musim hujan, menyebabkan usaha menyelamat dan mencari tertangguh, tambahnya.

    Kira-kira 17 orang masih hilang dan lebih 40,000 orang kehilangan tempat tinggal di seluruh negara disebabkan angina kuat itu, ujar pejabat pertahanan awam Filipina. – AFP

    Orang ramai terpaksa meredah banjir yang melanda bandar Baao di wilayah Camarines Sur setelah hujan lebat berlaku di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan 68 orang maut, kelmarin. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda