KARACHI, 6 JULAI – Pasukan penyelamat sedang dalam peringkat akhir untuk mengosongkan serpihan bangunan lima tingkat yang runtuh di bandar besar Karachi di Pakistan yang mengorbankan 27 orang, kata pegawai hari ini.
Para penduduk melaporkan mendengar bunyi retak sejurus sebelum blok apartmen itu runtuh sekitar 10 pagi Jumaat lalu di kejiranan Lyari di Karachi, yang pernah dilanda keganasan kumpulan dan dianggap sebagai salah satu kawasan paling berbahaya di Pakistan.
“Kebanyakan serpihan telah dipindahkan,” kata jurucakap perkhidmatan menyelamat kerajaan 1122, Hassaan Khan, kepada AFP, sambil menambah jumlah kematian meningkat 27 orang hari ini.
Dia menjangkakan operasi itu akan selesai menjelang tengah hari.
Pihak berkuasa berkata, bangunan itu telah diisytiharkan tidak selamat dan notis pengusiran dihantar kepada penghuni antara 2022 dan 2024, tetapi tuan tanah dan beberapa penduduk berkata kepada AFP mereka tidak menerimanya.
“Anak perempuan saya berada di bawah runtuhan,” kata Dev Raj yang berusia 54 tahun kepada AFP di tempat kejadian kelmarin.
“Dia adalah anak perempuan kesayangan saya. Dia sangat sensitif tetapi berada di bawah beban serpihan. Dia berkahwin enam bulan lalu,” tambahnya.
Bumbung dan bangunan runtuh adalah perkara biasa di seluruh Pakistan, terutamanya disebabkan oleh piawaian keselamatan yang lemah dan bahan binaan yang teruk di negara Asia Selatan yang mempunyai lebih 240 juta orang itu.
Tetapi Karachi, rumah kepada lebih daripada 20 juta, amat terkenal dengan pembinaan yang lemah, pendawaian haram, infrastruktur usang, kesesakan dan penguatkuasaan peraturan bangunan yang tidak ketat. – AFP


