Friday, October 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angka kematian serangan kumpulan bersenjata di Haiti meningkat

    HAITI, 10 OKT – Angka kematian dalam serangan kumpulan bersenjata yang kejam minggu lalu di sebuah bandar kecil di tengah Haiti telah meningkat kepada 115 orang, kata seorang pegawai tempatan kepada The Associated Press kelmarin.

    Serangan ke atas penduduk Pont-Sonde pada 3 Oktober merupakan salah satu pembunuhan beramai-ramai terbesar yang pernah dialami di Haiti dalam sejarah baru-baru ini.

    Myriam Fievre, datuk bandar berhampiran Saint-Marc kelmarin berkata bahawa jumlah korban telah meningkat kepada 115 dan kemungkinan akan terus meningkat kerana pihak berkuasa masih mencari mayat dan tidak dapat mengakses beberapa kawasan di bandar itu.

    “Kami sedang berusaha untuk memastikan bahawa penduduk dilindungi,” katanya dalam temu bual melalui telefon.

    Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menyatakan bahawa kira-kira 70 orang terbunuh minggu lalu apabila kumpulan Gran Grif menyerang bandar di wilayah Artibonite tengah.

    Mangsa termasuk anak damit, ibu muda dan orang tua, dengan kumpulan itu menghampiri Pont-Sonde menggunakan sampan untuk menangkap penduduk secara mengejut, menurut kumpulan hak asasi manusia tempatan.

    Mereka yang terselamat telah mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan serangan itu kerana kumpulan itu telah memberikan amaran dalam video yang disiarkan di media sosial bahawa mereka merancang untuk menyasarkan Pont-Sonde.

    Sehari selepas serangan itu, pegawai menggantikan pesuruhjaya polis yang mengawasi wilayah Artibonite, yang telah menyaksikan lonjakan keganasan kumpulan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kira-kira 20 kumpulan penjenayah beroperasi di kawasan itu, menurut PBB. – AP

    Doktor merawat seorang lelaki yang cedera di hospital Saint Nicolas di Saint-Marc, Haiti pada 6 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda