MADRID, 8 OKT – Angka kematian akibat runtuhan sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di pusat bandar Madrid meningkat kepada empat orang hari ini, selepas pasukan kecemasan menemui mayat dua mangsa terakhir yang dilaporkan hilang.
Dua mayat pertama ditemui lewat hari ini di lokasi berhampiran Plaza Mayor, kawasan tumpuan pelancong, beberapa jam selepas sebahagian bangunan itu runtuh.
Pasukan bomba kemudian menemui dua lagi mayat awal pagi hari ini, kata Datuk Bandar Madrid, Jose Luis Martinez-Almeida, dalam satu hantaran di platform X.
“Kami sampaikan kasih sayang dan sokongan kami kepada keluarga, rakan serta rakan sekerja mangsa pada saat yang amat sukar ini,” katanya.
Perkhidmatan kecemasan memaklumkan mangsa terdiri daripada tiga lelaki yang bekerja di tapak pembinaan serta seorang wanita penyelia projek. Media Sepanyol melaporkan ketiga-tiga pekerja itu berasal dari Mali, Guinea dan Ecuador.
Tiga lagi individu mengalami kecederaan ringan.
Punca runtuhan masih dalam siasatan. Bangunan tersebut, yang sebelumnya merupakan bangunan pejabat, sedang diubah suai menjadi sebuah hotel. Rekod majlis perbandaran menunjukkan permit projek itu telah diluluskan pada Februari lalu. – AFP


