Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Angka korban banjir meningkat 44

    TANAH DATAR, 13 MEI – Angka korban akibat banjir kilat dan aliran lava sejuk dari gunung berapi di barat Indonesia pada hujung minggu meningkat kepada 44 dengan 15 masih hilang, kata pegawai hari ini.

    Hujan lebat selama berjam-jam menyebabkan batu gunung berapi bergolek menuruni dua daerah di pulau Sumatera petang Sabtu, sementara banjir menenggelamkan jalan raya, rumah dan masjid.

    “Sehingga 1 petang, jumlah mangsa yang maut adalah 44 orang,” kata jurucakap agensi mitigasi bencana negara (BNPB), Abdul Muhari dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pasukan menyelamat masih mencari 15 orang yang masih hilang, di dua daerah – Agam dan Tanah Datar – yang paling teruk dilanda banjir dan tempat tinggal kepada ratusan ribu orang.

    Penduduk berkata mereka terdengar bunyi batu berdentum di jalan raya di luar rumah mereka ketika hujan lebat melanda.

    Abdul Malik, ketua agensi mencari dan menyelamat di ibu kota wilayah Padang, memberitahu pemberita kelmarin bahawa mayat yang ditemui termasuk dua kanak-kanak, berusia tiga dan lapan tahun.

    Ilham menggalakkan ‘orang ramai berpindah ke tempat saudara-mara, yang lebih selamat’ daripada khemah perlindungan semasa hujan lebat.

    “Pertama, kami menumpu pada usaha mencari dan menyelamat mangsa, kedua, melindungi mangsa yang dipindahkan dan melindungi mereka yang mudah terjejas,” katanya.

    Gabenor Sumatera Barat, Mahyeldi Ansharullah memberitahu pemberita hari ini kira-kira 130 orang telah dipindahkan ke sebuah sekolah rendah di Agam, manakala lebih 2,000 dipindahkan ke beberapa tempat di Tanah Datar. – AFP

    Kawasan yang rosak dilihat selepas banjir kilat dan aliran lava sejuk dari gunung berapi di Tanah Datar, Sumatera Barat, pada 12 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...