Wednesday, December 4, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angka korban banjir Thailand meningkat kepada 25

    BANGKOK, 3 DIS – Angka korban akibat banjir di selatan Thailand meningkat kepada 25 orang, menurut pegawai setempat hari ini, dengan ramalan hujan lebat dijangka berterusan selama beberapa hari lagi.

    Banjir yang bermula sejak 22 November lalu telah menjejaskan lebih 660,000 kediaman di wilayah selatan negara itu, menurut kenyataan agensi bencana negara di laman Facebook rasminya.

    Angka korban terkini meningkat berbanding laporan sebelumnya iaitu sembilan orang pada Sabtu lalu.

    Lebih 22,000 penduduk telah dipindahkan dari kediaman mereka akibat banjir yang melanda wilayah Pattani, Narathiwat, Songkhla dan Yala, menurut Jabatan Perhubungan Awam Kerajaan Thailand.

    Seorang pemilik ladang ayam di Songkhla, Suwas Bin-Uma, berkata kepada penyiar rasmi, Thai PBS, banjir telah memusnahkan kesemua ternakannya yang berjumlah lebih 10,000 ekor ayam.

    “Saya mencatatkan kerugian sekurang-kurangnya AS$87,000,” katanya.

    Jabatan Meteorologi Thailand hari ini memberi amaran tentang hujan lebat yang dijangka berterusan sehingga 5 Disember.

    Kerajaan Thailand telah mengerahkan pasukan penyelamat untuk membantu penduduk yang terjejas dan memperuntukkan 50 juta baht sebagai bantuan banjir bagi setiap wilayah yang terjejas.

    Setakat hari ini, kabinet Thailand telah meluluskan bayaran bantuan sebanyak 9,000 baht untuk setiap keluarga yang terjejas.

    Sementara itu, di negara jiran utara Malaysia, pegawai bencana memaklumkan hari ini lebih 94,000 penduduk masih belum kembali ke rumah masing-masing selepas dipindahkan akibat banjir, dengan lima kematian turut dilaporkan. – AFP

    Para penduduk berjalan meredah air banjir selepas hujan lebat melanda wilayah selatan Narathiwat, Thailand, pada 27 November lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda