Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angka korban bencana alam di Filipina meningkat kepada 11

    MANILA, 2 SEPT – Banjir dan tanah susur telah meragut 11 nyawa selepas ribut tropika yang kuat membawa hujan lebat di Filipina untuk hari kedua, kata pegawai hari ini.

    Ribut Tropika Yagi melanda pulau utama Luzon hari ini selepas membadai wilayah Bicol di tenggara Manila pada malam kelmarin, dengan lebih banyak ramalan hujan lebat yang menurut perkhidmatan cuaca negara boleh menyebabkan banjir dan lebih banyak tanah susur.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, sekolah dan pejabat kerajaan di seluruh ibu negara ditutup hari ini, perkhidmatan feri di beberapa kawasan digantung dan 29 penerbangan domestik dibatalkan.

    Tiga orang, termasuk seorang wanita hamil, terbunuh dalam kejadian tanah susur hari ini di Antipolo, berhampiran Manila yang juga dilanda hujan lebat, kata pegawai maklumat bandar, Relly Bonifacio.

    Menurut beliau, mayat empat orang lagi, semuanya mangsa lemas, ditemui hari ini di tiga kawasan lain di komuniti berbukit itu, beberapa jam selepas anak sungai melimpah semalaman.

    Bandar Naga di Bicol juga terjejas teruk, dengan seorang lelaki terkena renjatan elektrik ketika air banjir naik dan seorang anak damit perempuan lemas, kata penyelamat.

    “Paras banjir melebihi paras kepala di beberapa kawasan,” kata Joshua Tuazon dari pejabat keselamatan awam bandar itu kepada AFP, sambil menambah bahawa ratusan penduduk telah diselamatkan.

    Lebih 300 orang masih berada di kem pemindahan hari ini, dengan pegawai tempatan berkata air banjir di bandar yang mempunyai 210,000 orang penduduk itu lambat surut kerana air pasang. – AFP

    Gambar daripada Pengawal Pantai Filipina menunjukkan penyelamat menggunakan bot ketika mereka memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih tinggi di Allen, wilayah Samar Utara, Filipina pada 1 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda