Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angka korban gempa bumi di Bangladesh meningkat kepada 10

    DHAKA, 23 NOV – Dua gegaran kecil melanda Bangladesh kelmarin, sehari selepas gempa bumi kuat berlaku di luar bandar Dhaka sehingga meragut kira-kira 10 nyawa.

    Menurut Jabatan Meteorologi Bangladesh, gegaran 3.3 magnitud itu telah direkodkan di daerah Narshingdi, timur Dhaka pada waktu pagi, diikuti dengan gempa 4.3 magnitud yang melanda bandar negara itu sekitar jam 6 petang.

    Gempa bumi maut pada Jumaat itu dirasai di Dhaka dan daerah berhampiran, menyebabkan kemusnahan meluas.

    Mengemas kini angka terdahulu bagi gempa 5.5 magnitud itu, pegawai pengurusan bencana, Ishtiaqe Ahmed memberitahu AFP, “jumlah korban kini mencecah 10, manakala beberapa ratus lagi cedera”.

    Tiada laporan segera mengenai korban pada Sabtu, namun gegaran susulan yang lazim berlaku selepas gempa besar menambahkan kebimbangan berlakunya bencana lebih buruk.

    “Saya masih belum rasa selamat, kerana ada gegaran lain pagi tadi. Mungkin kami pula seterusnya,” kata Shahnaj Parvin, 44, yang tinggal berhampiran pusat gempa Jumaat itu dan berkata beliau tidak pernah mengalami gegaran sekuat itu.

    Retakan muncul pada puluhan rumah di kawasannya, katanya.

    “Saya sedang menyidai pakaian anak-anak di ampaian ketika gegaran berlaku,” tambah Parvin.

    “Saya berpegangan pada sebatang pokok mahogani, dan apabila saya pulang ke rumah, saya dapati semua barang kaca pecah,” tambahnya.

    Kerajaan telah mengaktifkan pusat operasi kecemasan Bangladesh untuk menilai tahap kerosakan serta menyelaras operasi bantuan dan penyelamatan.

    Rubayet Kabir dari Pusat Pemerhatian dan Penyelidikan Gempa Bumi Jabatan Meteorologi berkata faktor geografi menjadikan negara berpenduduk 170 juta itu terdedah kepada gempa.

    “Sebab itu kita kerap mengalami gegaran, walaupun tidak sekuat yang berlaku pada Jumaat,” katanya kepada AFP.

    “Beberapa gegaran kecil dijangka berlaku selepas mana-mana gempa besar,” kata Kabir.

    “Tidak ada gempa besar dalam tempoh 100 tahun atau lebih, tetapi Bangladesh telah lama berada dalam keadaan berisiko,” tambahnya. – AFP

    Seorang doktor merawat seorang lelaki yang cedera di sebuah hospital selepas berlakunya gempa bumi di Dhaka pada 21 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda